RSS

Saturday, January 17, 2009

Namaku Fansuri


Oleh Kalam Pendeta


NAMAKU Fansuri. Semua orang memanggil aku Fansuri. Anak kepada Hamzah. Penduduk Palestin yang semakin terhimpit derita. Derita yang berpanjangan. Usiaku baru mencecah dua belas tahun. Anak sulung daripada dua orang adik-beradik. Adik lelakiku bernama Abdul Rauf. Berusia sepuluh tahun.

Aku tidak mahu memanjangkan kisah yang duka ini. Cukuplah aku sekadar menceritakan, ayah dan ibuku mati di tangan pengganas Israel laknatullah. Kisah yang sungguh menyayat hati itu sungguh di luar di dugaanku. Apatah di ufuk pemikiran Rauf, adikku. Hidup kami dua beradik ibarat melukut di tepi gantang. Hidup kami tersepit di bumi sendiri. Aku malu meluahkannya pada sesiapa pun kerana aku tahu seluruh dunia tahu tentang nasib kami. Nasib kawan-kawan kami. Juga nasib negara kami.

Negaraku bernama Palestin. Dijajah dan cuba dimusnahkan oleh Israel. Ingin aku menjerit pada dunia, lihatlah penderitaan kami. Pandanglah kesusahan hidup kami. Dengarlah rintihan kami. Aku malu lagi untuk merayu pada dunia agar kami dibantu, ditolong kerana kami sangat memerlukan bantuan itu. Aku, Fansuri dan Rauf, adikku sangat membutuhkan pertolongan daripada semua. Aku mendambakan secangkir kasih sayang daripada susu ibu yang berlegar di negara-negara Islam. Siapa yang mahu mendengar jeritanku? Anak kecil yang tidak tahu apa-apa tentang peperangan dunia. Tentang sekatan ekonomi ataupun serangan pengganas.

Aku dan adikku cuma perlukan makanan, pakaian dan sekolah. Kami mahu berubah. Aku juga mahu berjaya agar aku akan dapat merubah nasib negaraku satu masa nanti. Aku mahu menjadi Muslim yang sejati. Aku bercita-cita syahid menentang Israel dan semua musuh-musuh Islam. Moga Allah SWT memberi kekuatan kepada aku, kepada adikku, kepada kawan-kawanku dan kepada pejuang-pejuang yang mahu mempertahankan hak dan kedaulatan kami. Sebagai seorang bernama Fansuri aku tidak takut untuk mati. Kisahnya begini.

Deruman enjin kereta kebal Israel mula kedengaran semakin mendekat memasuki kampungku. Kampungku yang terletak di tepi bandar Gaza, mula kelam-kabut. Kanak-kanak, wanita dan warga tua bertempiaran lari, mencari tempat persembunyian. Aku dan adikku Rauf, bertekad untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Aku tidak akan berganjak walau apapun yang terjadi. Aku tidak akan mengizinkan walau seinci pun lagi tanah milik kami, tanah milik warga Palestin bertukar milik kepada Israel. Andai aku syahid lebih dulu, Rauf akan menyambung perjuanganku. Kiranya Rauf yang syahid dulu, akan tetap meneruskan perjuangan ini. Namun, sebagai abang aku tidak akan membiarkan Rauf terkorban lebih dulu daripada aku. Aku mesti mempertahankannya. Amanah ayah ibu aku akan pegang hingga ke titisan darah yang terakhir.

“Abang, Rauf risau askar-askar itu akan menembak kita”

“Itu abang tahu. Kita berdoa pada Allah semoga kita diberikan kekuatan mempertahankan hak dan milik kita.” Aku memberikan kata semangat di sebalik deruman enjin kereta kebal yang semakin mendekat.

“Ayuh kita solat Dhuha.” Aku mengajaknya mengerjakan solat sunat. Rauf menangguk tanda setuju.

“Solat itu merupakan pengabdian kita kepada Allah SWT. Marilah kita menghadap-Nya dengan sepenuh hati. Usah dibiar rasa gemuruh menguasai minda kita. Usah biar rasa takut dan bisikan syaitan menikam masuk ke kalbu kita.” Entah dari mana datangnya kata-kata itu. Rauf hanya mengangguk sebelum aku mengangkat takbir, mengimamkan solat kami dua beradik yatim piatu.

Seusai berdoa, aku menghampiri Rauf. Memeluknya dengan erat seolah-olah kami tidak akan berjumpa lagi. Air mataku menitik, mengenang kegagalanku sebagai seorang abang memberikan yang terbaik buat adikku. Dia hanya berusia sepuluh tahun, namun mengajaknya berjihad menentang kezaliman. Aku mengajarkannya erti perjuangan. Aku menanamkan semangat jihad dalam dirinya.

Bunyi tembakan mesingan tentera iblis makin kuat kedengaran. Aku dan Rauf masih berlindung di celah-celah runtuhan rumah kami. Aku pandang wajah Rauf sesekali tersentak mendengar bunyi raifal dan suara jeritan ngeri anak-anak penduduk kampungku. Mereka seusia denganku. Juga seusia dengan Rauf. Aku terus menerus berdoa dalam hati semoga Allah memelihara kami berdua.

Aku memandang wajah pucat milik adikku itu. Ada bening-bening air mata bergenang di kelopak matanya. Aku tahu dia takut. Aku juga takut. Tapi sebagai seorang abang, aku kena berani. Aku mesti menjadi contoh pada adikku. Moga pengorbananku ini menjadi iktibar kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang seusia dengan kami berdua.

Aku terkenangkan perbualan dengan Pak Cik Ismael semalam. Pak Cik Ismael merupakan ketua kampung di kampungku. Pak Cik Ismael meminta aku dan adikku meninggalkan rumah kerana tentera rejim Zionis mahu merobohkan rumahku dan rumahnya. Alasannya mudah, kerana rumahku dijadikan pusat perlindungan pejuang-pejuang Hamas. Masya-Allah, berat sungguh tuduhan itu. Demikian juga dengan rumah Pak Cik Ismael. Rumahnya juga akan dirobohkan bersama-sama dengan rumahku.

Aku tahu Pak Cik Ismael merupakan pendokong kuat gerakan Fatah. Aku selalu melihatnya berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Fatah di rumahnya. Aku hanyalah Fansuri yang berusia dua belas tahun. Aku tidak mengenal raifal AK47, mesingan M16 atau pelancar peluru berpandu. Aku hanya melihat senjata-senjata tersebut digalas oleh pejuang-pejuang semasa ada demonstrasi ataupun majlis pengebumian saudara seagama yang syahid hasil muntahan peluru rejim. Kenapa aku dituduh sedemikian? Aku tidak punya ayah dan ibu. Sanak-saudaraku semuanya sudah berpindah ke kem pelarian di Lubnan. Aku tidak mengenal mereka.

Aku memberitahu Pak Cik Ismael, aku bukan ahli Hamas. Aku hanyalah aku, Fansuri budak berusia dua belas tahun. Kenapa tentera rejim mahu merobohkan rumahku? Aku tidak akan menangis melihat kezaliman ini. Aku mesti kuat. Aku mesti kuat. Itu tekadku. Aku mesti mempertahankan rumahku. Mesti. Aku menyatakan tekad ini kepada Pak Cik Ismael sehinggalah dia berlalu sambil menggelengkan kepala melihat ketegasanku. Aku bukan tidak mahu mendengar kata-kata orang yang lebih tua, namun aku punya tekad. Aku juga punya maruah. Aku punya tenaga. Aku punya kekuatan. Aku punya senjata. Doa. Aku juga punya Tuhan. Allah SWT.

Khayalan itu melangkaui ingatanku kepada arwah ibuku. Aku bermimpi berjumpa dengan ibu dalam tidur malam tadi. Ibu datang dengan muka yang ceria dan berseri-seri. Air mataku menitik, perlahan-lahan. Sebutir demi sebutir. Rauf menyedari keadaanku.

“Abang takut?” Muncul soalan dari bibirnya.

“Bukan, abang tak pernah takut. Abang teringatkan ibu kita. Ibu datang berjumpa dengan abang malam tadi. Ibu berpesan, selagi hidup jangan buang kalimah ‘Lailahah Illlallah Muhammadur Rasulullah’.” Aku menerangkan. Menenangkan hatinya. Namun aku lihat garis-garis kegusaran di mukanya.

“Kenapa ibu ayah meninggalkan kita?” Soalan yang saban hari diajukan oleh Rauf.

Kadang-kadang aku terkedu mendengar soalan. Aku tidak tahu apa yang hendak aku jawab. Aku takut jawapanku nanti tambah menyesakkan minda Rauf yang sedia terkepung dengan kesesakan dunia yang mencabar nalurinya sebagai seorang kanak-kanak.

“Ayah dan ibu tidak pernah meninggalkan kita. Tidak pernah terniat dalam hati mereka untuk meninggalkan kita berdua di dunia ini. Allah SWT lebih menyayangi mereka. Allah SWT juga menyayangi kita.”

“Allah SWT menguji kita kehilangan ayah dan ibu tapi kita masih mampu meneruskan hidup. Kerana apa? Kerana kita punya Allah SWT, kita punya agama. Abang harap Rauf faham perkara ini.” Rauf mengangguk. Sekali lagi aku merenung muka bersih adik kecilku itu.

Bunyi deruman enjin kereta kebal dan jentolak tentera rejim semakin kuat. Aku merasakan seolah-olah bumi bertasbih memberi semangat pada aku dan adikku untuk mempertahankan hak. Tanah bergegar. Tiang rusuk rumahku bergegar. Aku menggenggam batu. Rauf mengikuti tindakan. Batu kelikir yang kami kumpulkan semalam itu akan dijadikan senjata untuk mempertahankan diri. Itu sahaja senjata yang kami ada. Aku berdoa pada Allah SWT semoga kekuatan yang ada dalam diriku sekarang ini tidak akan hilang. Aku juga berdoa, moga Rauf akan terus bertahan bersama-samaku mempertahankan hak milik kami.

Semua orang tahu rejim Zionis tidak pernah kenal sesiapa pun. Bagi mereka, semua orang yang menentang hasrat mereka menduduki Kota Gaza dan Tebing Barat adalah musuh utama. Kanak-kanak, perempuan, wanita tua dan sesiapa pun juga merupakan musuh mereka. Aku teringat pidato pimpinan Hamas yang menerangkan bahawa perjuangan membebaskan Palestin dan mempertahankan hak serta maruah diri adalah jihad.. Walaupun aku masih kanak-kanak, namun aku mahu menjadi seperti sahabat-sahabat nabi yang mati syahid. Ganjarannya manis sekali.

Rauf menggenggam erat tanganku. Kedengaran pintu rumah kami di ketuk orang. Aku melihat ke luar. Bukan Pak Cik Ismael, tetapi tentera rejim. Seorang askar wanita. Dengan bengis memanggil nama aku. Fansuri... Fansuri... Fansuri... Fansuri...

Rauf mula menitiskan air mata. Apa dosanya adik kecilku ini sehingga diperlakukan sebegini. Kami hidup dalam ketakutan. Rauf, bersabarlah. Kuatkan semangat. Kami bersedia menghadapi tentera itu. Pintu rumah kami cuba dirobohkan dengan paksa. Aku melemparkan sebiji batu ke arah tentera wanita yang masuk ke dalam rumah kami sebaik sahaja pintu terbuka. Tepat mengenai matanya. Berdarah. Serentak dengan itu mendengar bunyi tembakan mesingan M16 berdentum. Rauf, terkulai layu. Darah merembes keluar dari tengah dahinya. Ya Allah, adikku telah menjadi korban kedurjanaan rejim itu.

Aku melemparkan lagi sebiji batu ke arah tentera rejim yang semakin ramai masuk ke dalam rumah. Aku tidak punya senjata lain. Aku bertakbir melaungkan kebesaran Allah SWT bila sepuluh muncung senapang tepat menuju ke mukaku. Mereka tidak membunuhku. Aku mahu syahid. Bunuhlah... tembaklah... letupkanlah diri kanak-kanak bernama Fansuri ini. Aku menjerit, namun mereka tidak melakukannya malah mereka mengheretku keluar. Jentolak menyodok rumahku. Aku menjerit, jasad Rauf masih di dalam rumah itu. Namun, tidak ada sesiapa yang menolongku. Pak Cik Ismael memandang sinis ke arahku.

Tentera Zinonis membawa aku bersama-sama mereka. Ke mana aku tidak tahu. Air mataku mengalir perlahan-lahan kemudian laju menuruni lereng-lereng mataku yang semakin bening dengan kesakitan. Semakin jauh aku dari jasad Rauf. Semakin jauh aku dari runtuhan rumahku. Dalam hatiku berharap agar ada yang sudi mencari jasad Rauf dan menyempurnakan jenazahnya. Aku berharap semoga dunia mengerti akan penderitaanku. Suara hati seorang kanak-kanak yang mahu dunia faham bahawa kami menderita. Aku bulatkan tekad, namaku Fansuri ... Fansuri tidak akan hilang ditelan zaman. Seperti Mohammad bin Jamal, yang kaku jasadnya dek karenah Zionis.

Namaku Fansuri... kanak-kanak berusia dua belas tahun. Aku sendiri tidak tahu di mana aku berada.... Namaku Fansuri... tolong bantu kanak-kanak sepertiku. Namaku Fansuri.... Namaku Fansuri.... semakin lenyap suara hatiku.... lemah dan....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar. Sehingga mereka dijadikan Allah seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

(Surah Al-Fil)


0 comments: