RSS

Sunday, January 25, 2009

Hati-hati Dengan Hati-hati Kita

Bila hati berbicara

Bicaranya tanpa suara

Bila hati berbicara

Hanya perilaku yang mentafsirkan segalanya


Hati

Bila hati disirami iman dan taqwa

Insan itu

Insan itu pasti mulia dan merdeka

Tapi

Bila hati dipalit dosa dan dosa

Damainya hilang, kelu kesah,

Jiwa pula meronta



Abu Hurairah berkata "Hati adalah raja dan seluruh anggota tubuh adalah pasukannya. Jika rajanya baik, maka baik pula pasukannya. Jika rajanya buruk, buruk pula pasukannya."


Sepotong hadith, riwayat Imam Ahmad, "Sesungguhnya, di dalam tubuh manusia terdapat segumpal darah. Jika ia baik, baiklah seluruh kepribadiannya, jika ia rusak, rusaklah seluruh kepribadiannya. Ingatlah, segumpal darah itu adalah hati."


Dan di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman, "Sesungguhnya bukan mata itu buta tetapi yang buta ialah hati yang didalam dada" (Al Hajj:46).


Musnahnya umat terdahulu, kerna mengikut kata hati yang tidak dibimbing oleh iman, tidak mahu menerima kebenaran yang dihamparkan di hadapan mereka. Bejatnya akhlak masyarakat hari ini, kerna hati tunduk kepada kata-nafsu yang sentiasa inginkan kenikmatan yang sementara. Beraninya kita melanggar hukum-hakam Yang Maha Satu, kerna hati lupa akan hakikat Negara yang dipimpinnya itu akan kembali kepada Penciptanya. Tak salah mengikut kata hati walaupun orang kata, ikut hati mati, namun perlu bersyarat. Bukan mengikut membabi-buta. Tanyakan dahulu kepada hati, khabar imannya. Tanyakan kepada hati, khabar taqwanya. Tanyakan kepada hati, khabar amalannya. Tanyakan kepada hati, khabar saudara-saudaranya. Tanyakan kepada hati, khabar masa depannya. Tanyakan kepada hati, khabar perkara yang ingin dilakukannya. Tanyakan kepada hati, apa ang telah dilakukannya sebagai khalifah di bumi Allah ini? Tanyakan kepada hati, tanyakan kepada hati, tanyakan kepada hati. Jika semua itu beres, dan diyakini akan sentiasa beres sehingga tamatnya riwayat Negara yang dipimpinnya, silakan. Ikutlah kata hatimu. Namun, siapa berani untuk tampil ke depan, memberi jaminan, terhadap kesuksesan itu?


Fitrah hati, sentiasa inginkan ketenangan dan sesuatu yang mengembirakan. Tiada hati yang ingin negerinya tersepit di celah-celah kesempitan dunia. Namun, hati kan menjadi lebih tenang, lebih bahagia jika kebahagian abadi yang dikejar oleh negerinya. Sayyidina Abu Bakar tidak pernah mengeluh walaupun hidupnya tidak pernah senang. Allah dan Rasulullah sahaja yang ditinggalkan untuk keluarganya tatkala dirinya menghadap Allah. Kerna hatinya mengejar keredhaan dari-Nya. Sayyidina Umat Al-Khatab tidak pernah gentar menjadikan dirinya sebagai benteng pertahanan Islam sepanjang hidupnya, walaupun akhirnya dia pergi di pembaringan. Kerna hatinya rindu kepada Dia yang menjanjikan nikmat mati syahid. Sayyidina Uthman bin Affan tidak pernah kesal dengan mengorbankan harta2nya yang bisa mendatangkan kesenangan kepada dirinya, hanya semata-mata untuk Islam. Kerna hatinya yakin kemewahan abadi yang dijanjikan oleh-Nya. Sayyidina Ali, seawall umur remaja, telah mengabdikan dirinya kepada Islam, dengan sebenar-benar pengabdian. Kerna hatinya terlalu cinta kepada-Nya.


Dalam mengejar yang abadi, kekadang negera ditimpa ‘musibah’. Hati yang memerintah Negara terkesan kerna hebatnya ujian yang melanda. Mengapa perlu ujian ini diturunkan kepadanya? Namun, itulah tarbiyyah dari-Nya, mengukur kekuatan hati, menambah kekuatan hati, menguji kekuatan hati, samada benar2 cinta kepada-Nya. cendekiawan barat pernah berkata, Tea shows it flavor in hot water“. Tapi lebih selesa kukatakan, jadilah seperti cordial, yang bisa menunjukkan rasanya walaupun “air sejuk” yang digunakan. =)

Kubisikkan kerinduan ini

Lantaran hakikat kehidupan ini

Kekadang amat getir untuk dilalui

Amat getir untuk ditempuhi


Bukanlah mudah

Bukanlah mudah memujuk hati

Agar tersenyum meniti sabar

Agar hening menyambut resah

Redha walau di saat susah


Namun, mujurlah,

Mujurlah bila bibir, lidah, jiwa, hati dan perasaan

Membisikkan kerinduan ini

Segala kesakitan pun terpadam

Segala keperitan pun menghilang


Hatiku, hatiku kini tenang

Hatiku kini damai

Kerna yang kudambakan

Hanyalah cinta pada Tuhan

“Ya Muqallibal Qulub, thabbit quluubana ‘ala deenik wa ‘ala to’atik”

Friday, January 23, 2009

Sifat-sifat Seorang Muslim

Sifat-sifat Seorang Muslim
  1. Bersifat wara’ dari melakukan perkara2 syubhah.
  • Menjauhkan diri dari melakukan perkara yang haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara yang syubhah.


2. Menundukkan pandangan.

  • Menutup pandangan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

3. Memelihara lidah.

  • Memelihara lidah daripada perkataan yang tidak memberi faedah, keji, kotor, mengumpat dan mengadu domba.

4. Malu.

  • Malu dalam semua keadaan tapi tidak menghalangnya daripada memperkatakan kebenaran.

5. Lemah-lembut dan sabar.

  • Berbicara dengan manusia sesuai dengan ‘aqal mereka dan berusaha utk memenangi hati setiap golongan.

  • Sanggup menahan risiko dan bijak menangani masalah yg timbul dengan behikmah.

6. Bersifat benar dan jujur.

  • Tidak berdusta, menyatakan yang hak sekalipun terhadap dirinya dengan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah.

7. Tawadhuk.

  • Rendah diri, tidak meletakkan diri pada sifat takabbur

8. Menjauhi perbuatan buruk sangka, mengumpat, menjejak keburukan orang lain.


9. Pemurah.

  • Mengorbankan harta dan dirinya kepada Allah.

10. Qudwah hasanah.

  • Setiap tindak-tanduknya menjadi terjemahan terhadap semua prinsip2 Islam, dari semua segi.


(Sumber: Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Fathi Yakan)



Menundukkan Pandangan


Satu kisah di sekolah aku dulu. Aku tak pasti samada kisah benar atau lagenda semata-mata. Namun ia menjadi bahan cerita kepada student2 baru apabila membahaskan tentang topic “menundukkan/menahan pandangan”. Kisah bagaimana sorang student dahulukala yang dikatakan mengamalkan konsep menundukkan pandangan ketika berjalan (sebenarnya salah faham konsep. Huhuhu..) sehingga tidak sedar melanggar/terhantuk dengan alat pemadam api (fire extinguisher). Ish, pertama kali aku dengar, aku fikir, ntahpapeje senior ni. Tapi bila fikir2 balik, itulah bahana kalau buat sesuatu just ikut kefahaman sendiri. Actually menundukkan pandangan kat sini bermaksud memelihara pandangan daripada perkara2 yang diharamkan oleh Allah, perkara2 yang boleh membawa kepada sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Bukan berjalan dengan menundukkan pandangan sehingga tidak Nampak akan bahaya di hadapan. Bak kata ustaz Shukri, perlu kena pada tempatnya.


Kawan aku pernah tanya, kenapa aku jarang bercerita tentang sekolah lama aku? Ada memori dukakah di sana sehingga kadangkala aku begitu sukar untuk mengaku aku pernah menuntut di sana? Aku ke sana kerna terpaksakah? Result SPM aku teruk ka? Hehe…xde pape sebab pun. Saje tak nak cerita. Coz pabila menceritakannya, hati aku dipagut rindu teramat sangat dengan biah di sana. Okla, arini rasa cam mood baik sikit, dan after g kelas nuqaba’ rabu lepas, de beberapa term yang membuatkan aku rasa cam nak cerita something about my previous school. 5 unique things in KISAS; TARBIYYAH, BIAH SOLEHAH, UKUWWAH, TEACHERS AND FRIENDS. Tak kisah la kat sekolah lain pun ada, aku just nak btau pe yang de kat sekolah aku tu (Takde lah orang cakap aku ni lupa daratan. Huhuhu..) but di sana merupakan salah satu tempat yang menjadi saksi kepada turning point kat dalam sejarah hidup aku ni. Hehe..ntahpape je ayat.


Ok, satu kejutan budaya tatkala aku menjejakkan kaki di sana ialah pengamalan Baabul-liqa’. Pebende babul-liqa’ ni? Kalau ditranslate terus dari BA-BM, akan bermaksud perjumpaan pintu (Sahabat2 yg terer BA, mintak betulkan kalau salah). Tapi kalu ditranslatekan kepada situasi sebenar ialah perjumpaan antara muslmin & muslimat yang dibuat secara berhijab (means tidak secara terus. Aku tak nampak muka ko, ko x nampak muka aku, just dgr suara ja). Dan maybe dipanggil babul-liqa’ coz kebiasaannya pintu kelas yang jadi hijab (sape yg tgok cite Ahmad Albab, mesti ingat word “Al-bab = pintu”). Kebiasaannya dilakukan apabila terdapatnya urusan penting atr muslimin dan muslimat yang tidak melibatkan jumlah yang ramai. Kalau ramai tu, wat mtg cam biasa jelah…


Ramai yang menganggapnya pelik (aku tak terkecuali time mula2 dulu). Apa barang main sembunyi2 belakang pintu? Jumpa jelah terus. Takde guna jaga pandangan mata kalu hati tetap tak dijaga. Huh…ayat2 itulah yang sering merajai diri dan menipu kita. Seringkali ayat “YANG PENTING HATI MESTI BAIK, TAK KISAHLAH LUAR CAMNA PUN” meniti di bibir. Tak dinafikan, menjaga pandangan ini bukan hanya menjaga pandangan secara fizikal sahaja. Orang selalu kata, dari mata turun ke hati, tapi de jugak yang advanced, dari telinga turun ke hati. Dalam pada menjaga pandangan mata, pandangan hati juga perlu dijaga. Takda guna kalau wat babul-liqa’ ka, tirai liqa’ ka, cakap dari bilik yang lain2 ka, tapi hati tetap bermain-main dengan perasaan tatkala mendengar suara di pihak satu lagi. Persoalan hati memang sukar nak diselesaikan. Aku bukan Dr Hati yang pandai nak bagi ayat2 penenang hati ni, just positive side yang aku nampak dari amalan Baabul-liqa’ ini adalah ia salah satu langkah untuk mengurangkan masalah hati. Prevention is better than cure. Benda ni mmg susah nk diamalkan kat tempat lain. Dan aku tak sure, skang ni de lagi ke amalan babul-liqa’ ni kat sekolah aku tu. Huhuhu…


>> Ni just pandangan aku, jangan plak pukul rata dengan menganggap suma lepasan sekolah aku berfikiran sepertiku. <<


Memelihara Lidah


“Siapa yang banyak bercakap, banyaklah salahnya, siapa yang banyak salahnya, banyaklah dosanya, siapa yang banyak dosanya, maka neraka adalah yang paling utama baginya”

(Umar Al-Khattab)




Bibir Merah (The Fikr)

Ada banyak cerita bibir merahmu

Lantunkan ayat Al-Quran

Jalan naluri kekasihku gemuruhnya api cemburu

Merah bibirmu yang selalu banyak selawat

Yang tiada luntur oleh air mata yang selalu jatuh

Membasahi bibir merahmu


Bibir merahmu bakal jadi saksi

Ketika engkau pulang nanti

Neraka apakah bahagianmu

Ataukah syurga tempatmu


Bibir merahmu yang indah

Tak mungkin membujuk mereka

Malaikat Munkar Nakir dalam kubur

Bibir merahmu untuk Ar-Rahman


Bibir merahmu kan jadi saksi

Saat engkau pulang nanti


Ya Allah

Hiasi bibir kami dengan zikir munajat Mu ya Allah

Istiqamahkan kami dengan lisan yang selalu ingat pada-Mu ya Allah

Ya Allah

Selamatkan lisan kami ya Allah


Janganlah kau angkuh dan sombong

Kerna bibir merahmu seperti bibir ratu Balqis

Jaga kekasihmu, jaga bibirmu

Jangan samapai tubuhmu hancur kerna lisanmu




So, untuk mengelakkan lebih banyak benda tak sepatutnya aku cakap, lebih baik berhenti di sini.

Wassalam…

Tuesday, January 20, 2009

Blur!!!

Semalam, jam tujuh petang, tatkala bersiap-siap untuk solat maghrib, terdengar satu perbualan, “Eh, hang nak p bilik TV kui bapa?”. “Tak tau lagi. Lepas solat maghrib kot,”. “Kena p awai, nanti tak dapat tempat duduk,”. Mmm..ade pe yang istimewa malam ni? Aku bertanya di dalam hati. Xpala, tak penting sangat. Selesai solat Isyak, pergi ke hadapan pc, meneliti list ym, mencari nama seorang sahabat. Owh, dia tak on9. Tapi tertarik pada satu status, menyatakan TVUSM on9 mlm ni, dan terlihat satu lagi status menyebut tentang Anugerah Juara Lagu pada malam ini. Patutlah!!! Automatic mendapat jawapan bagi persoalan aku tadi.
Anugerah Juara Lagu, dimenangi oleh kumpulan M.U.H dengan lagunya, Laguku Untukmu (rasanyalah ni tajuk dia). Faizal Tahir pula menggondol 3 hadiah utama (Persembahan, Vokal dan Balada). Aku rasa, tak perlu aku wara-warakan keputusan ini, ramai yang dah tahu. Dengan jumlah penonton yang memenuhi setiap bilik TV yg de kat blok2 di kampus ni (Kat desasiswa Jaya ngan Lembaran pun sama gak. Laporan dari wartawan2 di sana), ditambah pula dengan yang menontonnya secara on9, aku rasa, buang masa ja kalu aku ulas pun. Kesungguhan mereka untuk menonton rancangan tersebut membuatkan aku berfikir, macammana nak buat SESUATU yang mempunyai daya tarikan sedemikian rupa, namun mampu membina pemikiran yang merdeka dari sebarang anasir2 yang tidak sepatutnya, yang mampu melahirkan individu dengan sahsiah yang unggul, berkepimpinan dan yang penting menjadikan Allah sebagai metlamatnya. SESUATU yang sering dinantikan ketibaannya, terasa tidak sabar untuk mengikutinya dan terasa amat berbaloi apabila telah menghabiskannya. Apa dia SESUATU itu?

====================================================================

Menanti proses simulation selesai. Hampir setengah jam. Lebih lambat berbanding proses simulation design2 sebelum ni. Komputer terlalu lambat? Cam siput? Mungkin. Takpa. Kelewatan menguji kesabaran. Settlekan kerja2 lain sementara menanti simulation berakhir. Kerja2 untuk E-Scosa terbentang di depan mata. Perlu disiapkan sebelum matahari terbit. Xpa, bukan banyak pun. Erk, ya ka? Huhuhu.. Memandang ke sisi katil. Terpandang tugasan analog 2 yang belum siap dengan sempurna. Semalaman berjaga semalam, hanya mampu menyiapkan separuh. Xpa, insyaAllah malam ni habiskan. Melihat ke pintu loker, memeriksa tugasan yang belum siap. Mmm..tugasan quality method. Xpa, sok pagi bincang dengan groupmate. Beralih ke hadapan computer. Deretan buku yang kurang teratur susunannya di atas meja pula menarik perhatian. Mengatur buku-buku dan mengemas meja supaya sedap mata memandang. Hehe..Selesai. Simulation process? Masih belum selesai. Terasa ingin menaip sesuatu, tapi baru separuh jalan, terasa idea hilang entah ke mana. Berhenti berfikir berkenaan idea tadi, tapi jari terus menaip, didiringi lagu penuh semangat dari Izzatul Islam bertajuk Jejak. Maka, terhasillah post ini. Ish3…merepek memanjang. Takde pengajaran langsung. So, jangan buang masa, jom buat kerja. Jangan biarkan ‘aqalmu berhenti berfikir, jangan biarkan anggotamu berhenti ber’amal.

Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu, katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW:
Tiap-tiap anggota manusia sadaqah atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang yang berbalah, adalah menjadi sadaqah, dan engkau menolong seorang lelaki (yang berangkat), naik ke atas binatangnya (kenderaannya) atau engkau menolong mengangkat baginya barang-barangnya ke atasnya adalah menjadi sadaqah, dan perkataan yang baik itu sadaqah, dan pada tiap-tiap langkah yang engkau membuang bahaya dari jalan juga menjadi sadaqah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


*Tajuk kat atas tu tak de kena-mengena pun dengan post ni. Just menunjukkan aku blur, tak tau nak bagi tajuk pe untuk post yang merepek ni.

Saturday, January 17, 2009

Namaku Fansuri


Oleh Kalam Pendeta


NAMAKU Fansuri. Semua orang memanggil aku Fansuri. Anak kepada Hamzah. Penduduk Palestin yang semakin terhimpit derita. Derita yang berpanjangan. Usiaku baru mencecah dua belas tahun. Anak sulung daripada dua orang adik-beradik. Adik lelakiku bernama Abdul Rauf. Berusia sepuluh tahun.

Aku tidak mahu memanjangkan kisah yang duka ini. Cukuplah aku sekadar menceritakan, ayah dan ibuku mati di tangan pengganas Israel laknatullah. Kisah yang sungguh menyayat hati itu sungguh di luar di dugaanku. Apatah di ufuk pemikiran Rauf, adikku. Hidup kami dua beradik ibarat melukut di tepi gantang. Hidup kami tersepit di bumi sendiri. Aku malu meluahkannya pada sesiapa pun kerana aku tahu seluruh dunia tahu tentang nasib kami. Nasib kawan-kawan kami. Juga nasib negara kami.

Negaraku bernama Palestin. Dijajah dan cuba dimusnahkan oleh Israel. Ingin aku menjerit pada dunia, lihatlah penderitaan kami. Pandanglah kesusahan hidup kami. Dengarlah rintihan kami. Aku malu lagi untuk merayu pada dunia agar kami dibantu, ditolong kerana kami sangat memerlukan bantuan itu. Aku, Fansuri dan Rauf, adikku sangat membutuhkan pertolongan daripada semua. Aku mendambakan secangkir kasih sayang daripada susu ibu yang berlegar di negara-negara Islam. Siapa yang mahu mendengar jeritanku? Anak kecil yang tidak tahu apa-apa tentang peperangan dunia. Tentang sekatan ekonomi ataupun serangan pengganas.

Aku dan adikku cuma perlukan makanan, pakaian dan sekolah. Kami mahu berubah. Aku juga mahu berjaya agar aku akan dapat merubah nasib negaraku satu masa nanti. Aku mahu menjadi Muslim yang sejati. Aku bercita-cita syahid menentang Israel dan semua musuh-musuh Islam. Moga Allah SWT memberi kekuatan kepada aku, kepada adikku, kepada kawan-kawanku dan kepada pejuang-pejuang yang mahu mempertahankan hak dan kedaulatan kami. Sebagai seorang bernama Fansuri aku tidak takut untuk mati. Kisahnya begini.

Deruman enjin kereta kebal Israel mula kedengaran semakin mendekat memasuki kampungku. Kampungku yang terletak di tepi bandar Gaza, mula kelam-kabut. Kanak-kanak, wanita dan warga tua bertempiaran lari, mencari tempat persembunyian. Aku dan adikku Rauf, bertekad untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Aku tidak akan berganjak walau apapun yang terjadi. Aku tidak akan mengizinkan walau seinci pun lagi tanah milik kami, tanah milik warga Palestin bertukar milik kepada Israel. Andai aku syahid lebih dulu, Rauf akan menyambung perjuanganku. Kiranya Rauf yang syahid dulu, akan tetap meneruskan perjuangan ini. Namun, sebagai abang aku tidak akan membiarkan Rauf terkorban lebih dulu daripada aku. Aku mesti mempertahankannya. Amanah ayah ibu aku akan pegang hingga ke titisan darah yang terakhir.

“Abang, Rauf risau askar-askar itu akan menembak kita”

“Itu abang tahu. Kita berdoa pada Allah semoga kita diberikan kekuatan mempertahankan hak dan milik kita.” Aku memberikan kata semangat di sebalik deruman enjin kereta kebal yang semakin mendekat.

“Ayuh kita solat Dhuha.” Aku mengajaknya mengerjakan solat sunat. Rauf menangguk tanda setuju.

“Solat itu merupakan pengabdian kita kepada Allah SWT. Marilah kita menghadap-Nya dengan sepenuh hati. Usah dibiar rasa gemuruh menguasai minda kita. Usah biar rasa takut dan bisikan syaitan menikam masuk ke kalbu kita.” Entah dari mana datangnya kata-kata itu. Rauf hanya mengangguk sebelum aku mengangkat takbir, mengimamkan solat kami dua beradik yatim piatu.

Seusai berdoa, aku menghampiri Rauf. Memeluknya dengan erat seolah-olah kami tidak akan berjumpa lagi. Air mataku menitik, mengenang kegagalanku sebagai seorang abang memberikan yang terbaik buat adikku. Dia hanya berusia sepuluh tahun, namun mengajaknya berjihad menentang kezaliman. Aku mengajarkannya erti perjuangan. Aku menanamkan semangat jihad dalam dirinya.

Bunyi tembakan mesingan tentera iblis makin kuat kedengaran. Aku dan Rauf masih berlindung di celah-celah runtuhan rumah kami. Aku pandang wajah Rauf sesekali tersentak mendengar bunyi raifal dan suara jeritan ngeri anak-anak penduduk kampungku. Mereka seusia denganku. Juga seusia dengan Rauf. Aku terus menerus berdoa dalam hati semoga Allah memelihara kami berdua.

Aku memandang wajah pucat milik adikku itu. Ada bening-bening air mata bergenang di kelopak matanya. Aku tahu dia takut. Aku juga takut. Tapi sebagai seorang abang, aku kena berani. Aku mesti menjadi contoh pada adikku. Moga pengorbananku ini menjadi iktibar kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang seusia dengan kami berdua.

Aku terkenangkan perbualan dengan Pak Cik Ismael semalam. Pak Cik Ismael merupakan ketua kampung di kampungku. Pak Cik Ismael meminta aku dan adikku meninggalkan rumah kerana tentera rejim Zionis mahu merobohkan rumahku dan rumahnya. Alasannya mudah, kerana rumahku dijadikan pusat perlindungan pejuang-pejuang Hamas. Masya-Allah, berat sungguh tuduhan itu. Demikian juga dengan rumah Pak Cik Ismael. Rumahnya juga akan dirobohkan bersama-sama dengan rumahku.

Aku tahu Pak Cik Ismael merupakan pendokong kuat gerakan Fatah. Aku selalu melihatnya berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Fatah di rumahnya. Aku hanyalah Fansuri yang berusia dua belas tahun. Aku tidak mengenal raifal AK47, mesingan M16 atau pelancar peluru berpandu. Aku hanya melihat senjata-senjata tersebut digalas oleh pejuang-pejuang semasa ada demonstrasi ataupun majlis pengebumian saudara seagama yang syahid hasil muntahan peluru rejim. Kenapa aku dituduh sedemikian? Aku tidak punya ayah dan ibu. Sanak-saudaraku semuanya sudah berpindah ke kem pelarian di Lubnan. Aku tidak mengenal mereka.

Aku memberitahu Pak Cik Ismael, aku bukan ahli Hamas. Aku hanyalah aku, Fansuri budak berusia dua belas tahun. Kenapa tentera rejim mahu merobohkan rumahku? Aku tidak akan menangis melihat kezaliman ini. Aku mesti kuat. Aku mesti kuat. Itu tekadku. Aku mesti mempertahankan rumahku. Mesti. Aku menyatakan tekad ini kepada Pak Cik Ismael sehinggalah dia berlalu sambil menggelengkan kepala melihat ketegasanku. Aku bukan tidak mahu mendengar kata-kata orang yang lebih tua, namun aku punya tekad. Aku juga punya maruah. Aku punya tenaga. Aku punya kekuatan. Aku punya senjata. Doa. Aku juga punya Tuhan. Allah SWT.

Khayalan itu melangkaui ingatanku kepada arwah ibuku. Aku bermimpi berjumpa dengan ibu dalam tidur malam tadi. Ibu datang dengan muka yang ceria dan berseri-seri. Air mataku menitik, perlahan-lahan. Sebutir demi sebutir. Rauf menyedari keadaanku.

“Abang takut?” Muncul soalan dari bibirnya.

“Bukan, abang tak pernah takut. Abang teringatkan ibu kita. Ibu datang berjumpa dengan abang malam tadi. Ibu berpesan, selagi hidup jangan buang kalimah ‘Lailahah Illlallah Muhammadur Rasulullah’.” Aku menerangkan. Menenangkan hatinya. Namun aku lihat garis-garis kegusaran di mukanya.

“Kenapa ibu ayah meninggalkan kita?” Soalan yang saban hari diajukan oleh Rauf.

Kadang-kadang aku terkedu mendengar soalan. Aku tidak tahu apa yang hendak aku jawab. Aku takut jawapanku nanti tambah menyesakkan minda Rauf yang sedia terkepung dengan kesesakan dunia yang mencabar nalurinya sebagai seorang kanak-kanak.

“Ayah dan ibu tidak pernah meninggalkan kita. Tidak pernah terniat dalam hati mereka untuk meninggalkan kita berdua di dunia ini. Allah SWT lebih menyayangi mereka. Allah SWT juga menyayangi kita.”

“Allah SWT menguji kita kehilangan ayah dan ibu tapi kita masih mampu meneruskan hidup. Kerana apa? Kerana kita punya Allah SWT, kita punya agama. Abang harap Rauf faham perkara ini.” Rauf mengangguk. Sekali lagi aku merenung muka bersih adik kecilku itu.

Bunyi deruman enjin kereta kebal dan jentolak tentera rejim semakin kuat. Aku merasakan seolah-olah bumi bertasbih memberi semangat pada aku dan adikku untuk mempertahankan hak. Tanah bergegar. Tiang rusuk rumahku bergegar. Aku menggenggam batu. Rauf mengikuti tindakan. Batu kelikir yang kami kumpulkan semalam itu akan dijadikan senjata untuk mempertahankan diri. Itu sahaja senjata yang kami ada. Aku berdoa pada Allah SWT semoga kekuatan yang ada dalam diriku sekarang ini tidak akan hilang. Aku juga berdoa, moga Rauf akan terus bertahan bersama-samaku mempertahankan hak milik kami.

Semua orang tahu rejim Zionis tidak pernah kenal sesiapa pun. Bagi mereka, semua orang yang menentang hasrat mereka menduduki Kota Gaza dan Tebing Barat adalah musuh utama. Kanak-kanak, perempuan, wanita tua dan sesiapa pun juga merupakan musuh mereka. Aku teringat pidato pimpinan Hamas yang menerangkan bahawa perjuangan membebaskan Palestin dan mempertahankan hak serta maruah diri adalah jihad.. Walaupun aku masih kanak-kanak, namun aku mahu menjadi seperti sahabat-sahabat nabi yang mati syahid. Ganjarannya manis sekali.

Rauf menggenggam erat tanganku. Kedengaran pintu rumah kami di ketuk orang. Aku melihat ke luar. Bukan Pak Cik Ismael, tetapi tentera rejim. Seorang askar wanita. Dengan bengis memanggil nama aku. Fansuri... Fansuri... Fansuri... Fansuri...

Rauf mula menitiskan air mata. Apa dosanya adik kecilku ini sehingga diperlakukan sebegini. Kami hidup dalam ketakutan. Rauf, bersabarlah. Kuatkan semangat. Kami bersedia menghadapi tentera itu. Pintu rumah kami cuba dirobohkan dengan paksa. Aku melemparkan sebiji batu ke arah tentera wanita yang masuk ke dalam rumah kami sebaik sahaja pintu terbuka. Tepat mengenai matanya. Berdarah. Serentak dengan itu mendengar bunyi tembakan mesingan M16 berdentum. Rauf, terkulai layu. Darah merembes keluar dari tengah dahinya. Ya Allah, adikku telah menjadi korban kedurjanaan rejim itu.

Aku melemparkan lagi sebiji batu ke arah tentera rejim yang semakin ramai masuk ke dalam rumah. Aku tidak punya senjata lain. Aku bertakbir melaungkan kebesaran Allah SWT bila sepuluh muncung senapang tepat menuju ke mukaku. Mereka tidak membunuhku. Aku mahu syahid. Bunuhlah... tembaklah... letupkanlah diri kanak-kanak bernama Fansuri ini. Aku menjerit, namun mereka tidak melakukannya malah mereka mengheretku keluar. Jentolak menyodok rumahku. Aku menjerit, jasad Rauf masih di dalam rumah itu. Namun, tidak ada sesiapa yang menolongku. Pak Cik Ismael memandang sinis ke arahku.

Tentera Zinonis membawa aku bersama-sama mereka. Ke mana aku tidak tahu. Air mataku mengalir perlahan-lahan kemudian laju menuruni lereng-lereng mataku yang semakin bening dengan kesakitan. Semakin jauh aku dari jasad Rauf. Semakin jauh aku dari runtuhan rumahku. Dalam hatiku berharap agar ada yang sudi mencari jasad Rauf dan menyempurnakan jenazahnya. Aku berharap semoga dunia mengerti akan penderitaanku. Suara hati seorang kanak-kanak yang mahu dunia faham bahawa kami menderita. Aku bulatkan tekad, namaku Fansuri ... Fansuri tidak akan hilang ditelan zaman. Seperti Mohammad bin Jamal, yang kaku jasadnya dek karenah Zionis.

Namaku Fansuri... kanak-kanak berusia dua belas tahun. Aku sendiri tidak tahu di mana aku berada.... Namaku Fansuri... tolong bantu kanak-kanak sepertiku. Namaku Fansuri.... Namaku Fansuri.... semakin lenyap suara hatiku.... lemah dan....

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar. Sehingga mereka dijadikan Allah seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

(Surah Al-Fil)