RSS

Friday, May 15, 2009

Dia Berlalu Tanpa Merasa Walau Sebijipun...

Seorang pengembara, berjalan menuju ke sebuah pekan. Tiba di sebuah pekan, sebatang anak pohon rambutan dibelinya. Sebatang anak pokok rambutan kampong. Selepas itu, dia menyewa sebuah rumah. Sederhana sahaja rumah tersebut, cukuplah untuk dirinya. Setibanya di rumah tersebut, dia segera menanam anak pokok yang baru dibelinya tadi. Dengan cermat, dia menanam dan menyiramnya. Dia tersenyum gembira. Malam itu dia tidur dengan tenang.


Keesokan paginya, seusai solat subuh dan membersihkan rumah, dia bergegas turun ke halaman untuk menyiram anak pokok yang ditanamnya semalam. Alhamdulillah, masih seperti semalam. Dibelek pula daunnya. Alhamdulillah, masih elok. Sambil beryanyi riang, dia menyiram anak pokok tersebut.


Aktiviti tersebut menjadi rutin hariannya. Selepas seminggu, dia sedar, berlaku sedikit perubahan terhadap pohonnya itu. Daunnya kelihatan pucat. Beberapa helai daun pula mulai gugur. Ahh…kenapa pula? Tanpa membuang masa, dirujuknya masalah tersebut kepada sahabatnya, yang pakar di dalam bidang pertanian. Jawapan ditemui. Baja perlu diberi. Setelah mendapatkan maklumat baja yang diperlukan, dia membelinya dan menaburnya di sekitar pohon itu. Alhamdulillah, selepas beberapa hari, pohon itu menunjukkan perubahan. Daunnya mula kembali menghijau. Gembira sungguh hati Sang Pengembara.


Sebulan berlalu. Sang Pengembara melaksanakan rutinnya setiap hari tanpa jemu. Suatu hari, dilihatnya, daun pohon rambutan itu berlubang-lubang. Ahh..tentu sahaja angkara ulat beluncas yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini. Dia bergegas ke pasar, membeli racun serangga. Alhamdulillah, keesokan harinya, tiada lagi ulat-ulat beluncas yang datang mengacau.


Bulan berganti bulan, tanpa sedar, setahun berlalu. Pohon rambutan itu semakin membesar. Subur dan mula merimbun. Namun, daunnya yang merimbun itu menarik perhatian sekawan kambing yang sering merayau-rayau mencari makanan di sekitar kawasan rumah Sang Pengembara itu. Mujur sahaja Sang Pengembara menyedari kehadiran kawanan kambing itu. Dengan marahnya, dia menghalau kawanan kambing itu. Selepas itu, dia mencapai parangnya dan menuju pula ke hutan, mencari rimbunan buluh, untuk dibuat pagar pohon rambutannya. Gatal badannya bahana miang buluh, namun kerja2 menebang terus sahja dilakukan. Ketika memotong dan membelah buluh, tiba-tiba, “Zapp!!”. Darah merah mengalir dari tapak tangannya. Ahh..pedih tapak tangannya, namun demi pohon kesayangannya itu, dia meneruskan kerjanya. Akhirnya, selesai jua kerja-kerja membina pagar untuk pohon rambutan itu. Sang Pengembara tersenyum puas.


Pohon rambutan itu semakin membesar. Dahannya sudah sebesar lengan. Sekali lagi, musibah datang. Pekan tersebut dilanda ribut. Suatu malam, ribut menggila. Pohon rambutan itu hampir sahaja rebah. Dahannya sekah. Alhamdulillah, tindakan pantas Sang Pengembara berjaya menyelamatkan keadaan. Dalam ribut yang menggila, dia berusaha untuk mencari beberapa batang kayu dan tali untuk menyangga pohon rambutan tersebut dari terus rebah. Dahan yang sekah juga dirawat dengan penuh hati-hati. Sekali lagi, tangan dan kakiny a terluka, disayat belahan kayu dan zing yang berterbangan. Paginya, pohon itu masih gagah berdiri. Untuk ke sekian kalinya, Sang Pengambara tersenyum puas.


Masanya telah tiba untuk pohon itu berbuah. Bunga mula keluar dan tidak lama kemudian, ia mula berputik. Gembira sungguh Sang Pengembara. Dia semakin galak menjaga pohon rambutannya itu. Alhamdulillah, pohon rambutan itu berbuah lebat, hasil penjagaan rapi Sang Pengembara. Hari terus berlalu. Buah rambutan yang berjuntaian mula menguning.


Akhirnya, masanya tiba. Buah rambutan itu berwarna merah saga. Tentu sahaja manis rasanya. Namun, apa yang dilakukan Sang Pengembara? Dia mengemaskan barangnya. Usai mengemas barang, dia menuju ke pohon rambutan tersebut. Dengan tersenyum, dia membelek-belek buah rambutan yang bergantungan di dahan pokok. Tanpa mengambil walau sebijipun buahnya, atau merasa enaknya buah rambutan hasil pohon yang ditanamnya, dia berlalu pergi sambil berkata, “Aku seorang pengembara, aku perlu terus mengembara,”.


~TAMAT~


Baik, sapa dapat bagi kesimpulan? Siapa Sang Pengembara dan siapa pulak pokok rambutan tu? Kenapa pulak dia tak makan rambutan tu? Beracun?? Dia tau rambutan tu tak sedap? Dia memang tak leh makan rambutan manis coz de kencing manis? Or, deria rasanya sudah hilang? Next post aku jawab, aku perasan aku banyak keje jap.


(Penceritaan semula dari sebuah artikel yg aku baca di dalam sebuah majalah sekolah)

2 comments:

ana said...

oleh sebab hari ni hari guru,jadi jawapannya saya rasa,

pengembara=guru
pokok rambutan=anak murid

betul tak akak?
hehe

Sifrulmind said...

Pandai3!!

Meh datang bilik akak, akak blanje makan. Hehehe...