RSS

Sunday, November 9, 2008

Kisah Kasut






Sepanjang hari ni asyik duk terfikir pasal kasut. Rasanya setiap benda yg berlaku hari ni boleh dikaitkan dengan kasut/sandal/selipar. Dan kesibukan memikirkan pelbagai jenis kasut ni, tiba2 teringat filem Children of Heaven. Sebuah filem Iran yg telah meraih banyak anugerah. Agak popular. Pertama kali aku menontonnya semasa aku tingkatan 1 (kalu aku tak silap).


Bagi yang belum pernah tengok cerita ni, digalakkan untuk mencari sendiri synopsis cerita ni ataupun carilah filem ni sendiri kalu ada masa. InsyaAllah, ia sebuah filem yang bermanfaat, jika kita pandai memanfaatknanya. Ok, kalau ada masa, maybe leh klik sini untuk latar belakang cerita tu, termasuk synopsis dan lain-lain. Kalu nak cerita penuh, maybe leh mintak dari sharer2 cerita yang berjaya kat sekitar penempatan masing2. =p.


Apa yang menarik perhatian aku dalam filem ni adalah kehalusan peribadi anak-anak yang dipaparkan di dalamnya. Bagaimana peribadi anak-anak yang taat kepada ibubapa, amat menjaga perasaan dan amat memahami keadaan ibubapa mereka walaupun usia mereka masih muda (kalau tak silap, usia mereka dalam lingkungan sekolah rendah di Malaysia), tolong menolong, tidak kenal putus asa, ikhlas dalam beramal, mudah mengasihani orang-orang yg lebih lemah, matlamat yang jelas, dan banyak lagi yang rasanya tak dapat nak diceritakan di sini, masya Allah. Aku cerita sikit jelah apa yang aku dapat dari cerita ni, berdasarkan apa yang aku still ingat dan benda2 yang betul2 beri kesan pada jiwa ni. Sakit jiwa? Tiada kaitan. Abaikan…



Peranan Ibu Bapa


Peranan ibu bapa amat penting dalam mencorak peribadi anak-anak. Satu statement yang rasanya tak perlu nak diperdebatkan. Sebagai contoh, di dalam cerita ini, bagaimana ketegasan si ayah yang amat menjaga setiap pendapatan yang diperolehi untuk keluarganya. Ada satu part, yg mana si ayah mengambil upah (ataupun kerja sukarela, maaf, aku terlupa lagi…) memecahkan gula di rumah, si anak menghidangkan teh tanpa gula, dgn maksud meminta si ayah supaya menambahkan sendiri gula dari gula yang sedang dikerjakannya. Namun, ayahnya enggan mengambilnya walaupun sedikit kerana gula yang dikerjakannya itu, bukan kepunyaannya. Kesungguhan si ayah mencari rezeki yang halal dengan mengambil upah membuat pelbagai pekerjaan juga menunjukkan betapa si ayah berusaha untuk memastikan apa yang hadir/masuk ke dalam rumahnya adalah dari sumber yang halal. Sesungguhnya ibubap itu adalah contoh terdekat yang akan diambil oleh anak-anak. Walaupun keluarga mereka tergolong dalam keluarga yang kurang berkemampuan, namun berkat rezeki halal yang dicarinya, anak-anaknya mempunyai keperibadian yang membanggakan. Itulah yang dinamakan, kaf ba ro kaf ta nun, Keberkatan.



Tolong-menolong Sesama Muslim


Satu part, di mana si adik dapat trace kat mana kasut dia yang cantik molek tu. Selepas disiasat, rupa-rupanya kasut si adik ni sudah menjadi milik seorang rakan sekolahnya yang mempunyai ayah yang buta. Si adik yang berniat untuk mengambil kasut tersebut, membatalkan niatnya, kerana simpati dengan nasib sahabatnya itu. Walaupun dia amat memerlukan kasut tersebut, namun dia mendahulukan rakannya itu, walaupun dia tidak pernah mengenali kanak2 itu sebelum ini. SubhanaAllah, sungguh tinggi perngorbanan yang dilakukannya. Memberikan sesuatu yang amat kita sayangi kepada orang lain, bukankah itu yang dianjurkan oleh Islam? Kita sendiri mungkin tidak mampu untuk melakukannya. Berkorban dengan erti kata memberikan sesuatu yang amat kita perlukan kepada orang lain, bukannya memberikan apa yang berlebihan dari kita kepada orang lain. Teringat akan kata2 Saidina Abu Bakar tatkala Rasulullah bertanya, harta yang ditinggalkan oleh Abu Bakar untuk keluarganya, apabila Saidina Abu Bakar menyumbangkan perbelanjaan untuk peperangan Tabuk. Apa jawabnya? “Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk keluargaku,”. Tidak hairanlah dikatakan bahawa jika ditimbang antara iman Saidina Abu Bakar dan iman penduduk dunia ini keseluruhannya, iman Saidina Abu Bakar itu lebih berat timbangannya. Allahu Akbar!



Matlamat yang Jelas dan Berusaha untuk Mencapainya


Sering diperkatakan, seseorang yang gagal untuk merancang, sebenarnya merancang untuk gagal. Perancangan pula tidakkan terhasil tanpa matlamat yang jelas. In short, kegagalan itu dah tergambar jika tiada satu matlamat yang jelas diletakkan. Kalu aku tak silap, hanya orang yang tidak ber’aqal sahaja yang membuat sesuatu kerja tanpa matlamat. Adakah kita tergolong dalam golongan tersebut? Jawab sendiri soalan ni.


Di dalam filem ini, salah satu contoh yang boleh diambil ialah satu scene di mana si abang meletakkan matlamatnya yang jelas dalam menyertai pertandingan lumba lari yang diadakan, iaitu untuk mendapatkan hadiah ke-3, sepasang kasut. Dari situlah timbulnya kesungguhan dalam mencapai matlamat tersebut, walaupun secara luarannya, dia tidak berkemampuan untuk melakukannya. Walaupun dia tidak berjaya mendapat hadiah tersebut, namun dia berjaya memperoleh sesuatu yang lebih baik, iaitu dia mendapat tempat pertama. Jelas, matlamat itu penting, namun, ia akan jadi sia2 jika matlamat hanya tinggal matlamat, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk menggapainya. Jangan terkejut jika hasil yang diperoleh tidak seperti yang didambakan.


Pernah dengar kisah pemanah dan anaknya? Bagaimana si pemanah menyuruh anaknya memanah bulan, walaupun secara logiknya, manalah boleh si anak yang baru setahun jagung belajar memanah, memanah bulan. Namun, si anak menyahut cabaran tersebut dan meletakkan matlamatnya untuk memanah bulan. Fasa pertama, dia hanya berjaya memanah sehingga ke bumbung rumah sahaja. Tidak putus asa, meningkatkan usaha. Fasa ke-2, dia hanya mampu memanah sehingga ke puncak pokok. Fasa ke-3, dia berjaya memanah hingga ke kaki bukit. Fasa ke-4, puncak bukit pula ditawannya. Matlamat masih tidak tercapai. Usaha lagi, dan akhirnya dia berjaya memanah sehingga ke ISS. Hehe..takdelah. ni dah tipu dah ni. Akhirnya dia berjaya memanah sehingga ke puncak gunung. Apa yang ayah dia kata?


“Hai anak, adakah kamu fikir kamu akan berjaya hingga ke tahap ini jika aku hanya meletakkan bumbung rumah sebagai matlamatmu? Puncak pokok sebagai matlamatmu? Puncak bukit sebagai matlamatmu? Tidak salah untuk meletakkan matlamatmu jauh lebih tinggi, kerana jika kamu tidak berjaya mencapai matlamatmu yang melangit tinggi, kamu akan berjaya menghampiri matlamat itu..”



Rasanya semua tidak asing dengan kisah2 perajurit Islam yang berjuang dengan bersungguh-sungguh di medan perang. Hal ini berlaku kerna matlamat mereka yang jelas, iaitu untuk syahid pada jalan Allah, tidak seperti lawan mereka yang berjuang untuk hidup. Maka apabila bayang2 kematian menerpa, mereka dengan mudah akan patah semangat, seterusnya lari dari medan perang. Khalid Al-Walid, dikisahkan segala luka2 akibat peperangan kebanyakannya berada di bahagian dada (hadapan badan), tidak di belakang, kerna dia tidak pernah berpaling dari menghadap musuh. Kisah Musab bin Umair yang kedua-dua tangannya putus akibat ditetak tatkala memegang bendera Islam dalam peperangan Uhud. Dia tidak berundur, malah meneruskan peperangan walaupun terpaksa memegang bendera tersebut dengan dada dan lengannya yang telah putus ditetak, sehinggalah dadanya dipanah oleh musuh. Dia bukan seorang yang lekeh. Dia adalah anak seorang hartawan, yang diasuh dgn kemewahan sebelum memeluk Islam, namun dia meninggalkan kemewahan itu lantaran matlamatnya yang jelas dalam Islam itu sendiri. Said bin Jubair (r.a), seorang tabii, tidak gentar menyatakan kebenaran di hadapan Hajjaj bin Yusof, seorang pemerintah yang terkenal dengan gelaran si penumpah darah.. tanpa gentar, dia menegakkan kebenran Islam dan akhirnya Said dipancung oleh Hajjaj. Di peringkat manakah kita, yang mengaku dirinya penolong agama Allah?



Jangan paksa orang lain untuk memakai kasut kita


Hiasan semata-mata



“Pe maksud ayat tu?” tanya seorang junior, merangkap mentee aku. Haha..peribahasa? ni bukan peribahasa, just pengaya bahasa (tak tau ada atau tidak ungkapan pengaya bahasa di dalam bahasa Melayu. Taram jelah dulu ek!!)


Selalu terdengar saranan untuk kita cuba berdiri di dalam kasut orang lain apabila kita cuba untuk memahami seseorang/view seseorang. Tapi apa yang aku nak ketengahkan kat sini ialah untuk tidak menggunakan kasut tersebut untuk berjalan, apalagi memaksa untuk berjalan. Tak salah berdiri di dalamnya, tapi jangan berjalan, apalagi berlari dengan menggunakannya, jika ketika berdiri di dalamnya sudah diketahui ia tidak sesuai untuk kaki sendiri. Kasut yang terlalu kecil boleh menyebabkan kaki pemakai melecet dan kasut yang terlalu besar boleh menyebabkan kasut asyik tertanggal. Tidak selesa. Boleh menyebabkan pemakai melupakan niat untuk memakai kasut buat selama-lamanya, akibat serik memakai kasut. Hehe..clear? Owh, kawanku pernah kata, perumpamaan yang selalu aku buat, susah nak faham. Hehe…


Ok, satu scene dalam cerita ni. Kasut si abang tidak sesuai dengan kaki si adik, terlalu besar. Namun kerana tiada pilihan, si adik terpaksa memakainya. Satu ketika, kasut itu terjatuh ke dalam longkang ketika dia berlari pulang. Terlalu longgar. Pulang berjumpa si abang dengan hati yang sebal. Simple. Nampak? Ok, contoh lain. Dalam kehidupan seharian, pelbagai pendekatan digunakan dalam membentuk diri/membuat keputusan. Ada yang memilih pendekatan yang keras, ada yang memilih pendekatan yang lembut, ada yang memilih kedua-duanya berdasarkan keadaan semasa. Pendekatan itu diumpamakan seperti kasut. Pemakai A tidak semestinya sesuai dengan kasut pemakai B, begitu juga sebaliknya. Pemakai A tidak sepatutnya memaksa pemakai B berjalan dengan menggunakan kasut A. Jika A menggunakan pendekatan yang ‘keras’ dalam membentuk dirinya, tidak sepatutnya A memaksa B menggunakan pendekatan yang sama. Ditakuti tujuan B untuk membentuk diri tidak tercapai, sebaliknya terus menjauhkan diri dari usaha membentuk diri. Ni dalam kes membentuk diri. Pening dengan perumpamaan ini? Haha..sesungguhnya aku tidak mengharapkan korang faham sebab aku sendiri sering menghadapi masalah untuk memahami apa yang korang cuba terangkan. Hehe…



Jangan Mudah Mengeluh dengan Apa yang Menimpa Diri


Si adik merungut tatkala terpaksa memakai kasut si Abang untuk ke sekolah. Namun, dalam satu sesi riadah di sekolah, dia bersyukur kerana memakai kasut si Abang. Kenapa? Rakannya yang memakai kasut yang molek (kasut sesuai untuk berjalan2, bukan untuk beriadah), terjatuh ketika melakukan rutin senaman, namun si adik selamat kerana dia memakai kasut abangnya yang agak sesuai digunakan untuk beriadah. Satu lagi situasi di mana si adik merungut apabila kasutnya hilang, namun akibat kehilangan kasutnya itu, dia dapat bertemu dan menjalin persahabatan dengan rakan sekolahnya, anak si pakcik buta. Sebelum ni dia tak pernah kenal/teringin untuk berkenalan dengan kawannya ni. Terbukti, kadangkala apa yang kita suka itu, tidak memberi manfaat kepada diri kita, dan sesuatu yang kita tidak suka itu,sebenarnya menghidangkan perkara-perkara yang lebih kita kehendaki dan lebih bermanfaat. Haa..yang ni pasti mudah faham. Tak perlu jelaskan lagi.



Owh, sudah terlalu panjang aku menulis kali ni. Tahniah kerana berjaya baca sampai kat sini walaupun aku tahu, banyak yang sukar difahami dari ayat2 aku kat atas ni. Maybe ramai dah kandas tengah jalan coz tulisan aku yang susah nak faham ni. hehe…


Act filem ni kalau nak dibandingkan dengan filem Malaysia, memang jauh beza. Xpelah, tu lain kali cerita, insyaAllah. Mmm..baiklah, sebagai penutup. Cek saiz kasut masing2. Ukur kasut di kaki sendiri, bukan kaki orang lain. Wassalam…



0 comments: